Monday, February 11, 2008

Hayatilah perjuangan sahabat Nabi

KHALID AL – WALID SAIFULLAH

Khalid Al-Walid merupakan salah seorang pahlawan agung dan komando Islam yang amat ditakuti musuh. Mempunyai bentuk tubuh yang tegap, tinggi, berdada bidang dan sepasang mata helang yang tajam yang mampu menggerunkan lawan dan sangat bijak dalam mengatur strategi perang menjadikan keperibadiannya sangat unggul dan dihormati kawan maupun lawan. Beliau dianugerahkan fizikal dan kebijaksanaan yang amat hebat. Beliau adalah penjelmaan kemulian dan kekuatan dan tiada gantinya. Di samping itu beliau merupakan penunggang kuda yang amat hebat dan juga seorang ahli pedang yang berpengalaman dan sangat mahir dengan lembing dan apa jenis senjata sekali pun. Beliau seorang yang berpandangan jauh dalam merancang strategi terutamanya di medan perang .Di dalam perang uhud, ketika beliau mewakili pihak kuffar, beliau mempersembahkan kegagahan dan kebijaksanaan sehingga mampu mengalahkan mujahidin. Tetapi di dalam perang mu'tah beliau menjadi wira umat Islam apabila beliau menggunakan kebijaksanaannya dalam merancang sehingga mujahidin terselamat dan mendapat kejayaan . Kerajaan Rom dan Parsi menggigil ketakutan apabila beliau mara merempuh barisan musuh dalam pertempuran .


Apabila pihak kuffar mendengar nama lelaki yang tidak pernah ada perasaan takut itu ,mereka akan gementar kerana takut yang amat sangat .Serangan demi serangan dan kemenangan demi kemenangan yang Allah anugerahkan ketika beliau memimpin barisan tentera menjadikan dunia terpegun.Rasulullah s.a.w sendiri telah menggelar beliau saifullah .Beliau diakui dalam sejarah ketenteraan dunia sebagai jeneral terulung sepanjang zaman. Beliau sering memperoleh kemenangan dan kejayaan malahan musuh ketatnya juga mengakui kepakaran beliau dalam bidang ketenteraan. Sejak kecil lagi Khalid Al – Walid telah menunjukkan kecergasan, ketangkasan dan keberanian yang setanding dengan orang dewasa. Beliau menjadi ikon kepada remaja seusia dengannya. Tambahan pula beliau anak kepada pemimpin Bani Makhzum, Walid bin Mughairah. Bakat beliau telah mula mengembang mekar sejak remaja lagi dan dicemburui oleh pemuda Bani Makhzum yang lain.


Sebelum Khalid Al-Walid memeluk Islam, beliau menggunakan setiap peluang yang ada ketika pertarungan untuk mengalahkan Rasulullah s.a.w. Walaubagaimanapun setiap kali peluang datang, beliau seolah – olah didatangi sesuatu perasaan yang tidak dapat diungkapkan. Dalam satu peperangan, Rasulullah sedang mengimami solat zohor bersama tentera di belakang baginda. Khalid Al-Walid cuba mengambil peluang yang ada ketika kaum muslimin sedang khusyuk menunaikan solat. Tetapi, beliau secara tiba – tiba hilang kekuatan dan menjadi lemah seolah – olah ada sesuatu kuasa yang sedang memegangnya dari belakang. Begitu juga ketika Rasulullah s.a.w dan tenteranya sedang menunaikan solat asar berjemaah dalam peperangan yang sama, kaki Khalid Al-Walid tidak dapat bergerak ketika ingin menuju kepada tentera Islam. Beliau merasakan seolah – olah ada suatu kuasa yang melidungi Rasulullah s.a.w dan beliau sangat pasti, Rasulullah s.a.w bukan sahaja menguasai dunia arab bahkan akan menguasai dunia. Akhirnya, Allah S.W.T membuka pintu hati Khalid untuk menyayangi Islam.


Ketika berlakunya perjanjian Hudaibiyah, Khalid Al- Walid terfikir – fikir apa yang patut beliau lakukan. Adakah beliau patut berpindah ke Ethiopia? Tetapi pemerintah Ethiopia, Raja Najashi, seorang ahli kitab yang sudah beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam hidup aman di bawah pemerintahannya. Kemudian Khalid merancang untuk pergi ke kerajaan Raja Harqul. Walaubagaimanpun, beliau berfikir kembali. Adakah patut beliau meninggalkan tanah tumpah darahnya? Adakah beliau hanya akan duduk di rumah dan meninggalkan kehidupannya sebagai seorang pahlawan? Fikiran Khalid Al- Walid memikirkan permasalahan ini. Di saat – saat genting ini, beliau menerima sepucuk surat dari saudara lelakinya yang telah memeluk agama Islam. Saudara lelakinya itu telah menulis surat yang sangat indah dan mengatakan kepada Khalid bahawa Rasulullah s.a.w menanyakan di mana beliau berada. Rasulullah s.a.w telah mengatakan bahawa Allah Maha Besar akan membawa Khalid kepada RasulNya untuk bersama memperjuangkan agama Allah yang tercinta ini.


Pesanan itu menjadikan pemikiran dan perasaan Khalid tidak keruan dan hanya memfokuskan kepada deen yang satu ini. Beliau sangat gembira dan berbesar hati apabila Rasulullah s.a.w bertanyakan tentang hal beliau. Khalid berasa amat bertuah dan sangat yakin dengan masa depannya yang cerah bersama Islam tercinta. Ketika itu, beliau bermimpi bergerak dari kawasan yang sempit, gelap, kotor dan tiada udara ke kawasan tanah lapang yang subur. Apabila beliau terjaga, Khalid akan merasa sangat tenang dan membuat keputusan untuk ke Madinah. Khalid berhasrat untuk mencari teman menemani perjalanan ke Madinah.

Akhirnya Uthman bin Talhah r.a bersetuju untuk mengikuti Khalid Al-Walid ke Madinah Al-Munawwarah. Mereka memulakan perjalanan dengan semangat yang penuh membara untuk tiba di sana dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w, kekasih Allah yang dirindui. Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan 'Amru bin 'As. 'Amru bin 'As bertanya ke mana arah tujuan mereka dan 'Amru bin 'As menyatakan hasratnya untuk ke Madinah bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w bagi memeluk agama Islam. Mereka bertiga meneruskan perjalanan dengan perasaan gembira dan rindu yang tidak dapat diungkapkan kepada deen Allah dan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, mereka tiba di Madinah pada 1 Safar 8 hijrah. Khalid Al-Walid akhirnya mengungkap syahadah dan berjanji untuk taat setia bersama Allah dan RasulNya.

Khalid Al-Walid bukan sahaja seorang yang gagah perkasa di medan pertempuran malah di medan berbicara. Pada bulan Rabiul awwal tahun ke 10 hijrah, Rasulullah s.a.w mengutus Khalid Al-Walid sebagai ketua rombongan kepada 400 orang umat Islam ke Lembah Najran untuk menyampaikan Islam. Beliau diarahkan untuk menyampaikan Islam kepada Kabilah Bani Haris yang menetap di sana. Sekiranya mereka mahu memeluk Islam, hendaklah di ajar tentang Quran dan Sunnah. Jika mereka menolak hendaklah mengisytihar perang ke atas mereka. Khalid Al-Walid menggesa mereka supaya lebih baik mereka menerima agama Islam kerana tiada kuasa di dalam dunia ini yang mampu menyelamatkan mereka dari kehinaan dan keaiban. Sekiranya mereka mendengar, mereka akan mendapat kemakmuran. Suara Khalid yang penuh dengan keyakinan seolah –olah mengetuk pintu hati mereka. Hasil kebijaksanaan Khalid Al- Walid berbicara tentang Islam, hati kabilah Bani Haris menjadi gementar dan akhirnya mereka memeluk agama Islam.

Di hari-hari akhir kehidupannya, beliau menangis semahu-mahunya kerana tidak dianugerahkan syahid tetapi sedang menunggu kedatangan malaikat Izrail hanya di atas katil. Beliau selalu berharap dan berdoa supaya kematiannya di hujung mata pedang tetapi kehendak dan kekuasaan Allah itu adalah melebihi segalanya. Tiada ruang satu inci dari badannya yang tidak berparut kesan tombakan lembing mahupun libasan pedang. Khalid pergi tanpa meninggalkan harta tetapi hanyalah seekor kuda dan senjata-senjatanya bersesuaian dengan kehebatannya sebagai seorang panglima Islam. Semasa hari pengebumian beliau, ibunya menangis dan berkata anaknya lebih berani dari seekor singa. Anaknya mempertahankan ummah ini seperti seekor singa melindungi anaknya. Kuda Khalid yang bernama Ashqar turut menitiskan air mata.

Panglima Khalid Al-Walid r.a menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hamas pada 21 hijrah semasa pemerintahan Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a


Rujukan :

Commanders of The Muslim Army (Among the Companions of The Prophet s.a.w) Mahmood Ahmad Ghadanfar.ter:Jamila Muhammad Qawi Darussalam.Januari 2001

Diterjemah oleh :Ustazah Hurun Ain bte Ahmad Tajuddin